🤷🏻 Siapakah saya?
Saya juga mempunyai dua nama berbahasa Cina yang berlainan tetapi mempunyai cara bacaan yang hampir serupa. Nama yang pertama ialah Xī dáyǎ (希达雅) yang digunakan semasa tadika, manakala nama yang kedua ialah Xǐ dáyà (喜达亚) yang digunakan semasa sekolah rendah, dan nama ini juga dicetak di sijil tamat sekolah untuk sekolah rendah saya. Kedua-dua nama tersebut diberi oleh guru besar masing-masing ketika kemasukan saya ke tadika atau ke sekolah rendah, dan jika tidak silap ia merupakan transkripsi atau pindah bunyi daripada nama saya, iaitu perkataan ketiga Hidayah dan perkataan keenam Hidayat. Kini saya hanya menggunakan nama Xǐ dáyà (喜达亚) apabila menulis dalam bahasa Cina kerana saya gunakan nama tersebut dengan lebih lama berbanding nama yang lagi satu. Dalam kes tertentu, saya gunakan nama bahasa Jepun untuk membuatkan diri saya kelihatan lebih mesra apabila menulis ulasan di laman berbahasa Jepun atau apabila berbincang di forum berbahasa Jepun, nama tersebut ialah Yasuyoshi Yatsuko (安喜弥津子).
Kenapa tukar nama pengguna?
Untuk menyeragamkan cara memanggil saya dan buatkannya sama, saya membuat keputusan untuk menggunakan MNH48 sebagai nama pengguna utama dan Yaya sebagai nama panggilan utama. Panggil saya Yaya, dan jika perbezaan diperlukan kerana wujudnya beberapa Yaya yang berbeza, panggil saya Yaya MNH48.
Selain itu, terdapat juga bias persepsi di mana nama pengguna muhdnurhidayat dilihat sebagai nama lelaki secara automatiknya kerana ejaannya dan juga kerana ia mempunyai nama Muhammad di dalamnya. Banyak kali orang menganggap saya lelaki walaupun saya seorang yang berjantina bukan perduaan berkecenderungan keperempuanan yang memakai pakaian perempuan sepanjang masa, malah fesyen pakaian kegemaran saya ialah memakai skirt pendek dengan stoking panjang sambil mendedahkan kulit di bahagian paha, iaitu gaya fesyen yang dikenali sebagai Zettai Ryouiki. Dengan mengubah nama pengguna menjadi MNH48, orang tidak akan terus menganggap saya sebagai lelaki dan akan bertanya dahulu. Saya seorang yang berjantina bukan perduaan dan saya gunakan kata ganti nama ketiga "they/them" dan "she/her" dalam bahasa Inggeris.
Apakah maksud di sebalik MNH48?
Ada cerita yang panjang di sebalik nombor 48, tetapi cerita utamanya berkait dengan kelas komputer semasa tingkatan satu sekolah menengah pada tahun 2009. Unit pemprosesan dalam makmal komputer pada ketika itu semuanya 32-bit, dan terdapat masalah di mana beberapa perisian mudah alih tidak dapat dijalankan di komputer dalam makmal tersebut kerana perisian itu semua ditulis untuk unit pemprosesan 64-bit. Tanpa pengetahuan komputer yang unggul pada waktu tersebut, dengan bodohnya saya mencadangkan agar "kita patut guna 48-bit" untuk memudahkan kedua-dua pihak, kerana (32+64)÷2=48. Rakan sekelas saya mula gunakan nombor 48 untuk mengejek saya sejak itu, tetapi saya mengambil kira ia sebagai nombor bertuah saya dan saya tidak akan lupakan apa yang telah berlaku ketika itu.
Apakah sebab pilih nama Yasuyoshi Yatsuko?
Nama keluarga Yasuyoshi (安喜) dipilih apabila saya menjumpainya di laman tertentu yang mengatakan nama keluarga tersebut dalam cara bacaan tersebut hampir pupus, kerana lebih ramai menggunakan nama keluarga tersebut dalam bacaan lain iaitu Anki. Saya tidak ingin apa-apa untuk pupus, jadi saya buat keputusan untuk menggunakannya. Ia juga mempunyai kanji 喜 jadi ia berkait dengan nama bahasa Cina saya iaitu Xǐ dáyà (喜达亚).
Nama diberi Yatsuko (弥津子) pula dipilih sekadar mengikut logik untuk menghubungkan dengan perkataan bahasa Jepun lain sementara memelihara bahagian penting nama sebenar saya iaitu Ya (daripada bunyi ketiga dalam perkataan ketiga Hidayah dan perkataan keenam Hidayat). Pada awalnya, saya guna hiragana sebagai asas, dan mulakan dengan Ya (や). Kemudian, saya tambah Ya (や) dengan Tsu (つ) supaya nama tersebut mudah untuk digabungkan dengan benda lain seperti kata panggilan -chan (~ちゃん), di mana ia akan menjadi Yacchan (やっちゃん) yang berbunyi lebih comel dan lebih mudah disebut berbanding Yachan (やちゃん). Selepas itu, saya tambahkan Yatsu (やつ) tadi dengan penamat Ko (こ) yang biasa dijumpai dalam nama yang berunsur perempuan. Dengan adanya nama penuh dalam hiragana sebagai Yatsuko (やつこ), saya gunakan prinsip Ateji [Ateji di Wikipedia bahasa Inggeris] (当て字) dan kaitkan kanji yang mempunyai bacaan tersebut kerana saya inginkan nama dalam tulisan Kanji dan bukan Hiragana, maka lahirlah nama Yatsuko (弥津子).
Kenapa nama sebenar panjang sangat?
Ia juga amat biasa untuk orang Melayu mempunyai lebih dari satu perkataan dalam nama diberi, agak jarang orang Melayu yang hanya mempunyai satu perkataan dalam nama diberi tanpa mengira jantina, dan ada kemungkinan untuk timbul kekeliruan dengan orang lain jika nama digunakan hanya mempunyai satu perkataan, terutamanya apabila ramai yang merahsiakan nama nasab kerana ia dianggap peribadi. Malah, ada orang yang mempunyai nama yang lebih panjang, dan ketika ini, nama terpanjang yang didaftarkan di Malaysia ialah Princess Aura Nurr Emily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian di mana nama diberi, Princess Aura Nurr Emily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra mempunyai 10 perkataan dan 54 aksara, manakala nama nasab, Mohd Sufian mempunyai 2 perkataan dan 10 aksara.