Kematian Laptop Saya dan Pengenalan Kepada Minetest


Sejak beberapa bulan yang lepas, laptop saya sudah menunjukkan tanda-tanda untuk mati seperti masa but yang lebih lama dan lain-lain. Namun, akhirnya ia mati minggu lepas apabila ia tak boleh but walaupun dah cuba untuk biarkannya but selama dua hari. Saya dah bawanya ke kedai komputer di kawasan universiti untuk selamatkannya tetapi ia perlukan pembedahan di sebuah hospital pakar dan saya tidak ada duit yang cukup... Okey, balik ke topik asal. Saya bawanya ke kedai komputer dalam kawasan universiti untuk pemeriksaan ringkas untuk periksa sama ada masalah ini berkaitan RAM atau kad grafik, tapi ternyata bukan. Masalahnya laptop itu tak boleh melepasi POST (kalau tak tahu apa benda itu POST, anda bukan dalam bidang komputer).

Bila POST pun tak lepas, maka BIOS pun tak boleh masuk, apatah lagi nak masuk ke OS macam Windows. Ini kegagalan perkakasan, bukan perisian. Mereka kata mungkin ada cip yang rosak dan perlu hantar ke pusat besar untuk pemeriksaan lanjut, tapi sebab pemeriksaan lanjut dan penggantian cip mungkin menjadi sangat mahal untuk saya sebagai pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan pelajaran untuk meneruskan kehidupan, saya membuat keputusan untuk membawa balik laptop dan tidak menghantarnya ke pusat tersebut. Apapun, pemeriksaan ringkas itu percuma.

Daripada hari tersebut, saya telah berhenti semua aktiviti melibatkan penggunaan laptop, termasuk penyuntingan video (saya pakai Sony Vegas Pro versi OEM), pembuatan sarikata (Aegisub, Avidemux, Handbrake) dan pengkompilan program mini (Dev-C++, Netbean). Saya juga terpaksa meninggalkan tanpa jangka daripada bermain permainan dan permainan LAN seperti Counter Strike: Global Offensive. Internet sini teruk, saya tak boleh main online dengan ping yang sangat tinggi (spt. 5,000 ms).

Untuk aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh telefon saya, saya mula pakai telefon saya untuk melakukannya, ini termasuklah membuat tugasan dengan Microsoft Word for Android, membuat slaid persembahan dengan Microsoft PowerPoint for Android, sambungkan cakera keras luaran 1TB melalui OTG dan buka kandungannya dengan ES File Explorer, pakai MX Player untuk buka video dari pelayar fail. Saya juga terus menulis terjemahan menggunakan Jota Text Editor dan Google Chrome.

Saya mencari lebih banyak permainan telefon selepas saya tak boleh nak pakai laptop saya. Apabila saya tengok dekat Google Playstore, saya jumpa beberapa permainan yang serupa dengan permainan yang saya pernah main dekat laptop, salah satunya Multicraft, yang serupa dengan Minecraft yang saya pernah main pakai LAN. Ada juga Minecraft Pocket Edition tapi mahal sangat.

Saya memang tak ada akaun Minecraft account, saya cuma main dalam bilik. Ada kawan saya yang beli permainan penuh dan bagi salin dekat saya dan kawan lain, katanya undang-undang membenarkan salinan sebab kami cuma main melalui LAN dan tak pakai internet, yang kena bayar tu akaun online saja. Lagipun, dia tahu kami tak mampu nak beli akaun Minecraft yang sememangnya terlampau sangat mahalnya, dan sia-sia bila dah beli tapi kami tak boleh main online sebab internet sini teruk.

Saya main Multicraft untuk dua hari, kemudian saya fikir kalau-kalau permainan ini boleh di-mod sebab  Minecraft yang kami main pakai LAN pun boleh mod. Saya pun carilah folder Multicraft dalam simpanan dalaman dan terjumpa akhirnya. Apa yang hairannya, ada folder lain di dalamnya dan folder itu dinamakan "Minetest". Kemudian, saya rasa ini mesti sejenis enjin yang Multicraft pakai untuk permainannya, maka saya pun mencari Minetest yang sebenar. Akhirnya, saya jumpa laman web Minetest dan semua pautan muat turun termasuk untuk APK Android. Saya pun pasang Minetest yang original dari laman webnya dan mengucapkan selamat tinggal kepada Multicraft. Baca lebih lagi tentang Minetest dekat laman web khusus untuknya di sini: mt.mnh48.com