Kematian Laptop Saya dan Pengenalan Kepada Minetest
Sejak beberapa bulan yang lepas, laptop saya sudah menunjukkan tanda-tanda
untuk mati seperti masa but yang lebih lama dan lain-lain. Namun, akhirnya ia
mati minggu lepas apabila ia tak boleh but walaupun dah cuba untuk biarkannya
but selama dua hari. Saya dah bawanya ke kedai komputer di kawasan universiti
untuk selamatkannya tetapi ia perlukan pembedahan di sebuah hospital pakar dan
saya tidak ada duit yang cukup... Okey, balik ke topik asal. Saya bawanya ke
kedai komputer dalam kawasan universiti untuk pemeriksaan ringkas untuk
periksa sama ada masalah ini berkaitan RAM atau kad grafik, tapi ternyata
bukan. Masalahnya laptop itu tak boleh melepasi POST (kalau tak tahu apa benda
itu POST, anda bukan dalam bidang komputer).
Laptop saya sudah tidak hidup, kena hidup dengan telefon sahaja |
Bila POST pun tak lepas, maka BIOS pun tak boleh masuk, apatah lagi nak masuk
ke OS macam Windows. Ini kegagalan perkakasan, bukan perisian. Mereka kata
mungkin ada cip yang rosak dan perlu hantar ke pusat besar untuk pemeriksaan
lanjut, tapi sebab pemeriksaan lanjut dan penggantian cip mungkin menjadi
sangat mahal untuk saya sebagai pelajar yang bergantung sepenuhnya kepada pembiayaan pelajaran untuk meneruskan
kehidupan, saya membuat keputusan untuk membawa balik laptop dan tidak menghantarnya
ke pusat tersebut. Apapun, pemeriksaan ringkas itu percuma.
Daripada hari tersebut, saya telah berhenti semua aktiviti melibatkan
penggunaan laptop, termasuk penyuntingan video (saya pakai Sony Vegas Pro
versi OEM), pembuatan sarikata (Aegisub, Avidemux, Handbrake) dan pengkompilan
program mini (Dev-C++, Netbean). Saya juga terpaksa meninggalkan tanpa jangka
daripada bermain permainan dan permainan LAN seperti Counter Strike: Global
Offensive. Internet sini teruk, saya tak boleh main online dengan ping yang
sangat tinggi (spt. 5,000 ms).
Untuk aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh telefon saya, saya mula pakai
telefon saya untuk melakukannya, ini termasuklah membuat tugasan dengan
Microsoft Word for Android, membuat slaid persembahan dengan Microsoft
PowerPoint for Android, sambungkan cakera keras luaran 1TB melalui OTG dan
buka kandungannya dengan ES File Explorer, pakai MX Player untuk buka video
dari pelayar fail. Saya juga terus menulis terjemahan menggunakan Jota Text
Editor dan Google Chrome.
Saya mencari lebih banyak permainan telefon selepas saya tak boleh nak pakai
laptop saya. Apabila saya tengok dekat Google Playstore, saya jumpa beberapa
permainan yang serupa dengan permainan yang saya pernah main dekat laptop,
salah satunya Multicraft, yang serupa dengan Minecraft yang saya pernah main
pakai LAN. Ada juga Minecraft Pocket Edition tapi mahal sangat.
Saya memang tak ada akaun Minecraft account, saya cuma main dalam bilik. Ada
kawan saya yang beli permainan penuh dan bagi salin dekat saya dan kawan lain,
katanya undang-undang membenarkan salinan sebab kami cuma main melalui LAN dan
tak pakai internet, yang kena bayar tu akaun online saja. Lagipun, dia tahu
kami tak mampu nak beli akaun Minecraft yang sememangnya terlampau sangat
mahalnya, dan sia-sia bila dah beli tapi kami tak boleh main online sebab
internet sini teruk.
Saya main Multicraft untuk dua hari, kemudian saya fikir kalau-kalau permainan
ini boleh di-mod sebab Minecraft yang kami main pakai LAN pun boleh mod.
Saya pun carilah folder Multicraft dalam simpanan dalaman dan terjumpa
akhirnya. Apa yang hairannya, ada folder lain di dalamnya dan folder itu
dinamakan "Minetest". Kemudian, saya rasa ini mesti sejenis enjin yang
Multicraft pakai untuk permainannya, maka saya pun mencari Minetest yang
sebenar. Akhirnya, saya jumpa laman web Minetest dan semua pautan muat turun
termasuk untuk APK Android. Saya pun pasang Minetest yang original dari laman
webnya dan mengucapkan selamat tinggal kepada Multicraft. Baca lebih lagi
tentang Minetest dekat laman web khusus untuknya di sini:
mt.mnh48.com