Baik dan Buruk Duduk dalam Kolej Kediaman


Seperti semester sebelumnya, saya dapat tinggal di dalam kolej kediaman lagi. Tahukah anda yang kami terpaksa tinggal dalam kolej kediaman? Tidak, kami bukannya dipaksa oleh pihak universiti, tetapi dipaksa oleh persekitaran kami para pelajar. Universiti tidak pernah memaksa pelajar untuk tinggal di dalam, malah mereka mempunyai biro khas untuk pelajar yang tinggal di luar yang sanggup pergi ke rumah pelajar sekiranya berlakunya bencana seperti banjir. Tetapi, persekitaran di sini memaksa kami untuk terus duduk di dalam, terutamanya kerana jarak di antara kelas dan tempat tinggal serta harga sewa rumah yang terlalu mahal. Walau pun kami tinggal dalam kolej kediaman, ada baik dan buruknya duduk dekat sini, mari tengok sisi baik dulu sebab kita mestilah mulakan sesuatu dengan yang positif terlebih dahulu!
Kolej kediaman

Baik

1. Dekat dengan kelas
Jarak antara bilik kediaman ke kelas lebih dekat berbanding duduk luar kolej kediaman. Walaupun tiada alasan untuk terlewat ke kelas, ianya bagus sebab boleh balik bilik di antara kelas.

2. Senang ikut aktiviti
Banyak aktiviti dijalankan dalam kawasan universiti, jadi bila duduk dekat bilik kolej kediaman, lebih senang nak ikut serta aktiviti dianjurkan oleh sesiapa saja dalam universiti.

3. Senang nak ke mana saja
Boleh jalan kaki ke mana saja anda mahukan, anda takkan rasa penat berjalan sebab tak jauh. Kalau duduk dekat luar, anda perlu berjalan sangat panjang dan letih nak mati bila sampai ke tempat yang dituju dalam universiti.

4. Pemeriksaan perubatan dan ubat-ubatan percuma
Ini mungkin tiada dekat semua universiti tetapi selalunya universiti awam kena ada untuk pelajar mereka. Untuk kes saya, mereka ada bangunan khusus dengan khidmat rawatan asas yang lengkap. Tak kiralah selsema, demam, atau cedera akibat aktiviti, atau penvaksinan, semuanya percuma untuk pelajar. Mereka mempunyai ambulans sendiri kalau-kalau ada benda serius terjadi dan perlukan rawatan lanjut di hospital.

5. Terdapat kawasan rekreasi
Sekurang-kurangnya untuk kami, memang ada kawasan rekreasi dalam kawasan universiti. Kawasan tersebut ada tasik yang indah beserta laluan joging, dengan teduhan pokok dan beberapa bangku kecil.

6. Kemudahan sukan percuma disediakan
Untuk pelajar yang betul-betul menjaga kesihatan, ada juga dewan gimnasium, laluan lumba lari, padang bola sepak, padang badminton, padang tenis dan lain-lain, percuma untuk digunakan oleh pelajar.

Buruk

1. Tiada WiFi
Walaupun ada universiti yang mempunyai liputan WiFi yang bagus, sama ada percuma atau berbayar, untuk kami hanya ada satu titik WiFi untuk seluruh bangunan kediaman merangkumi lebih kurang 120 bilik dan 360 pelajar. Dekat bilik saya, tak dapat langsung liputan tersebut, sebab itu saya tulis tajuknya "Tiada WiFi". Kami cuba pergi ke titik panas itu sendiri dan hanya mampu mendapat 8kbps (1KB/s). Akhirnya, kami terpaksa melanggan data telefon masing-masing yang sememangnya mahal dengan kuota yang seciput.

2. Kafe yang mahal (atau berpatutan)
Untuk saya, harga makanan memang mahal walaupun mereka yang berasal dari bandar besar akan kata harganya berpatutan. Sepinggan nasi campur dengan seketul ayam bersama kuah kena harga RM4.00 yang memang tinggi daripada harga di kafe dan warung dekat rumah iaitu RM2.50 tetapi ianya sudah murah berbanding harga di bandar besar, ada kawan saya kata dekat bandar harganya semahal RM6.00.

3. Barang jualan terhad
Memang ada banyak kedai dalam kawasan universiti, tetapi barang yang dijual terhad. Apabila benda yang kita nak habis stok, kita kena tunggu bulan depan untuk dapatkannya, atau pergi ke kedai di luar universiti, yang berkaitan dengan...

4. Pengangkutan mahal
Untuk pergi ke kedai di luar universiti apabila tiada barang di kedai di dalam universiti, kita perlukan pengangkutan, tetapi harganya pula mahal. Teksi akan sentiasa caj kita harga sebuah kereta tak kira berapa orang naik teksi. Bila naik bersendirian, anda masih bayar harga yang sama dengan harga bila naik berempat. Untuk pergi ke kompleks beli-belah terdekat, anda dicaj RM10 per teksi tak kira bersendirian atau penuh teksi.

5. Tak boleh kerja separuh masa
Pelajar yang dapat duduk dalam kolej kediaman ni dikira sebagai pelajar yang tak mampu sewa rumah di luar universiti, jadi anda tak boleh kerja separuh masa sebab mereka ingat anda mampu sewa rumah di luar kalau kerja separuh masa dan mungkin halau keluar dari kolej kediaman, walaupun hakikat sebenarnya jumlah duit yang boleh dapat daripada kerja separuh masa ini selalunya cuma separuh daripada jumlah sewa rumah, maksudnya tak cukup nak bayar sewa pun. Ini menyebabkan pelajar dari keluarga miskin atau sederhana seperti saya terpaksa menanggung sepenuhnya kepada biaya pendidikan yang sedikit untuk teruskan kehidupan di universiti, sebab ibu bapa bukannya mampu nak menyara kami di sini sebab mereka sendiri juga susah.

6. Elektrik tak stabil & juruteknik pemalas
Ini menjadi masalah apabila duduk dekat kolej kediaman. Setiap bilik memuatkan tiga pelajar dan enam soket elektrik. Ini bermakna setiap pelajar cuma ada dua soket untuk digunakan. Memandangkan aras bilik saya ni majoritinya pelajar sains komputer, kami memang banyak pakai elektrik. Kami terpaksa pakai soket pembahagi untuk membolehkan lebih banyak alatan elektrik dipasangkan kepada dua soket tersebut. Kadang-kadang, ada benda jadi bermasalah dekat sesuatu tempat dan menendang suis utama. Apabila jadi macam ni, kami terpaksa tunggu sekurang-kurangnya enam jam atau sehingga dua hari untuk juruteknik bertugas yang pemalas untuk buka kotak suis utama dan buka balik elektrik untuk seluruh aras.

Saya sendiri ada enam peranti yang bersambung kepada dua soket elektrik saya: pemanas air minuman, penghalau nyamuk elektrik automatik (sentiasa dibuka), laptop, mesin pencetak, penyesuai USB 2-port USB untuk mengecaj dua telefon, dan juga penyesuai USB 4-port (sentiasa dibuka) untuk memberi kuasa kepada dua hab data USB (Hab USB 3.0 7-port untuk laptop & hab USB 2.0 4-port untuk salah satu telefon saya yang menyambung kepada hab melalui OTG), lampu malam USB dan lampu papan kekunci sebab rakan sebilik tutup lampu bilik awal dan saya tak boleh menaip dalam gelap. Salah seorang rakan sebilik saya ada enam lagi peranti yang bersambung kepada dua soket elektrik mereka termasuk set komputer lengkap dengan skrin LCD. Terdapat juga seseorang dekat aras kami yang ada 10 plag bersambung kepada dua soket elektrik sebab komputer mereka pakai kotak kuasa berbeza untuk CPU utama dan kad grafik tambahan, menambah 4 skrin LCD berbeza untuk mendapatkan resolusi 4K, selain peranti asas lain seperti pengecas telefon dll. Apabila tidak bermain permainan, mereka membuat kerja pengaturcaraan dekat satu skrin sambil menonton permainan secara langsung dalam Twitch dekat skrin lain, sambil memainkan video muzik animasi Jepun dari YouTube dalam skrin lain dan bersembang dengan rakan permainan dekat skrin terakhir.


Ulasan

Jika anda mempunyai sesuatu untuk diberitahu mengenai kandungan ini, sila ciapkan dengan pautan URL kandungan ini dan juga ulasan anda ke akaun Twitter @mnh48com, yang dicipta khusus untuk perhubungan blog. Hal ini kerana sistem ulasan Blogger tidak berfungsi dalam cara yang saya inginkan, dan saya telah melumpuhkan fungsi ulasan disebabkan perkara tersebut.